Petaling Jaya: Selangor FC Malaysia memperoleh kemenangan pertama dalam Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC Two 2024/25 selepas menewaskan Dynamic Herb Cebu FC dari Filipina 1-0 pada Khamis, di Stadium MBPJ Kelana Jaya.

Pasukan tuan rumah mendominasi perlawanan dari awal hingga akhir, namun terpaksa berpuas hati dengan hanya satu jaringan separuh masa pertama melalui Yohandry Orozco. Selangor kini memperolehi empat mata hasil seri dengan Muangthong United pada perlawanan pertama dan menang di tempat sendiri semalam.
Beraksi dengan padang yang licin akibat hujan sepanjang perlawanan, Selangor lebih pantas menyesuaikan diri dan mendahului pada minit ke-10 hasil gerakan cantik yang menyaksikan tolakan Ronnie Fernandez dari kiri disudahkan oleh Orozco.

Ketua jurulatih Nidzam Jamil memberikan penampilan sulung kepada pemain baharu Selangor Nikola Jambor dan Mohammad Abualnadi ketika permainan berbaki 10 minit untuk bermain tetapi kedudukan kekal tidak berubah sehingga wisel penamat.

Selangor seterusnya akan menentang Jeonbuk Hyundai Motors FC dari Republik Korea pada 23 Oktober dengan Cebu akan menentang Muangthong United dari Thailand.

