You are currently viewing PIALA MALAYSIA SEKALI LAGI MILIK JDT FC

PIALA MALAYSIA SEKALI LAGI MILIK JDT FC

  • Post author:
  • Post category:Football

Laporan oleh Taufik Azri Hang Jebat, 8 Mei 2025.

Gambar diambil oleh Vincent Phoon untuk CSN Media.

Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan dominasi mereka dalam arena bola sepak tempatan apabila menjuarai Piala Malaysia 2025 selepas menundukkan Sri Pahang FC dengan keputusan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 April. Kemenangan ini mencatat sejarah apabila JDT menjadi satu daripada hanya tiga pasukan yang berjaya menjuarai Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut, menyamai pencapaian Kuala Lumpur (1987–1989) dan Selangor (1995–1997).

Sri Pahang bermula garang apabila T. Saravanan menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-14, namun harapan mereka tergugat apabila pemain tengah mereka, Sergio Agüero, menerima kad merah pada minit ke-35 selepas mengutip dua kad kuning. Bermain dengan 10 orang memberi kelebihan taktikal kepada JDT untuk mengambil alih rentak permainan.

JDT akhirnya menyamakan kedudukan pada minit ke-54 melalui sepakan penalti oleh penyerang prolifik mereka, Bergson Gustavo. Tekanan berterusan pasukan Harimau Selatan membuahkan hasil apabila Arif Aiman meledak gol kemenangan pada minit ke-74. Persembahan cemerlang Arif Aiman sepanjang perlawanan melayakkan beliau dinobatkan sebagai Pemain Terbaik.

Perlawanan akhir ini turut dicemari oleh kekecohan melibatkan sebilangan penyokong, namun aksi di atas padang tetap menjadi tumpuan utama. Dengan kejayaan ini, JDT melengkapkan musim yang gemilang dengan menyapu bersih kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia – mencipta sejarah sebagai pasukan pertama dalam sejarah bola sepak Malaysia yang berjaya meraih tiga kali “triple treble”.