
Gambar oleh Olympic Council of Malaysia (NOC). Berita oleh Taufik Azri untuk CSN Media.

Gambar oleh Olympic Council of Malaysia (NOC).
Majlis Olimpik Malaysia (NOC Malaysia) dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia telah menganjurkan Majlis Aktivasi Hari Olimpik 2025 pada Isnin, 23 Jun 2025, bertempat di ruang legar Stadium Nasional Bukit Jalil, bermula jam 6.30 hingga 7.30 malam.
Majlis dirasmikan bersama oleh Presiden NOC Malaysia merangkap Naib Presiden Majlis Olimpik Asia, Dr. Norza Zakaria; Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Mdm. Chan Hong Jin; Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia, Mdm. Anita Azrina Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia, Mr. Iliyas Jamil dan Timbalan Presiden NOC Malaysia, Mr. Nur Azmi Ahmad.

Gambar oleh Olympic Council of Malaysia (NOC).
Kemuncak acara ini menyaksikan pencahayaan simbolik pada fasad LED Stadium Nasional yang menampilkan lambang Olimpik dan tulisan “OLYMPIC DAY”, sebagai simbolik mesej kepada rakyat Malaysia untuk terus bergiat aktif menyokong semangat Hari Olimpik sejagat.
Turut hadir ialah Ahli Lembaga Eksekutif NOC Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Tetap, wakil KBS, MSN, ISN, KPM serta pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, bersama lebih 80 atlet kebangsaan dari sukan Terjun, Gimnastik, Karate, Wushu serta kehadiran empat legenda Olimpik negara – Dr. M. Jegathesan (Olahraga), Nurul Huda Abdullah (Renang), Mirnawan Nawawi (Hoki) dan Ng Shu Wai (Gimnastik).

Gambar oleh Olympic Council of Malaysia.
Dalam ucapan aluan, Mdm. Anita Azrina menzahirkan penghargaan kepada NOC Malaysia dan khususnya kepada Dr. Norza atas kepercayaan dalam menjalin kerjasama strategik ini. Dr. Norza pula menyatakan pemilihan Perbadanan Stadium Malaysia dan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai lokasi utama adalah berdasarkan sumbangan besar mereka kepada legasi sukan negara serta pembangunan ibu pejabat baharu NOC Malaysia (Olympic House) di atas tanah seluas 5.38 ekar bermula 1 Mac 2025.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Presiden IOC yang bakal bersara, Dr. Thomas Bach atas kepimpinan globalnya serta mengucapkan tahniah kepada pengganti baharu, Mrs. Kirsty Coventry yang mula memegang jawatan pada hari yang sama.
Majlis ini turut menyaksikan pengumuman rasmi pelantikan Perbadanan Stadium Malaysia sebagai Rakan Strategik NOC Malaysia dalam usaha memperkukuh Gerakan Olimpik di Malaysia.
Untuk pautan video penuh, sila layari https://www.instagram.com/reel/DLUQaRSSkqZ/?igsh=MWRsdzZmNWE3OTBtcQ==
#HariOlimpik
#OlympicMAS
—CSN MEDIA—
