NAZIRUL IZZAT CURI TUMPUAN DI SEPANG!

MSBK250 – NAZIRUL IZZAT CURI TUMPUAN DI SEPANG!
Nazirul Izzat Tewaskan Irfan Ardiansyah Dalam Pertarungan Saat Akhir
Nazirul Izzat Muhd Bahauddin mencipta kejutan apabila berjaya menjuarai Race 1 kategori MSBK250 A dalam Pusingan 4 MAM Malaysia Superbike Championship 2026 di PETRONAS Sepang International Circuit.

Perlumbaan yang berlangsung sengit itu menyaksikan beberapa pertukaran kedudukan di kelompok hadapan, dengan Nazirul, Irfan Ardiansyah dan Nguyen Huu Tri antara pelumba yang memberikan saingan hebat.
Memasuki pusingan terakhir, Nazirul berjaya mengekalkan kedudukan pendahulu walaupun terus diasak oleh Irfan yang sedang memburu kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan keseluruhan lebih awal.
Irfan sempat mencari ruang untuk memintas di selekoh terakhir, namun Nazirul berjaya mendapatkan semula momentum ketika keluar ke laluan lurus utama.

Dengan pecutan terakhir yang cukup bertenaga, Nazirul berjaya melintasi garisan penamat di tempat pertama dengan catatan masa 19’49.718s, hanya 0.089 saat di hadapan Irfan.
Muhd Akif Abdullah pula melengkapkan podium di tempat ketiga.
Keputusan 5 Terbaik Race 1 MSBK250 A:
- Nazirul Izzat Muhd Bahauddin – 19’49.718s
- Irfan Ardiansyah – 19’49.807s
- Muhd Akif Abdullah – 19’49.922s
- Muhd Haziq Muhd Fairues – 19’49.960s
- Nguyen Huu Tri – 19’50.062s
photos by @anabihanphotalk
⸻
PIN CHI CHIEN DOMINASI MSBK250 B, SASAR KEMENANGAN BERGANDA!

Pin Chi Chien daripada NWN CZ1 SCK RACING TEAM mempamerkan penguasaan penuh apabila berjaya menjuarai Race 1 kategori MSBK250 B selepas mendahului perlumbaan dari mula hingga tamat.
Bermula dari petak pertama, Pin Chi melakukan permulaan yang sempurna dan terus mengekalkan kedudukan pendahulu sejak selekoh pertama.
Beliau berjaya membina jurang masa yang besar daripada pencabar terdekat, Kabilesh Rajini Krishnan, sebelum menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 20’09.124s.
Kabilesh menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala Rafiif Dhani Satrio melengkapkan podium di tempat ketiga.
Kemenangan ini turut meningkatkan keyakinan Pin Chi untuk memburu satu lagi kemenangan dalam Race 2.
Keputusan 4 Terbaik Race 1 MSBK250 B:
- Pin Chi Chien – 20’09.124s
- Kabilesh Rajini Krishnan – 20’37.771s
- Rafiif Dhani Satrio – 20’39.692s
- Ng Wei Shyang – 21’20.681s
photos by @anabihanphotalk