
Berita dan gambar oleh Taufik Azri untuk CSN Media.

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) terus melangkah proaktif dalam mengukuhkan kedudukan kewangannya menerusi kerjasama strategik bersama pelbagai pihak, demi membuka lebih banyak peluang dan manfaat kepada para atlet para serta masyarakat umum di tanah air.

Kehadiran empat rakan strategik memberikan suntikan baharu kepada MPM dengan pelbagai faedah yang bakal dimanfaatkan oleh atlet para dan bekas atlet negara.

Empat syarikat yang terlibat dalam kerjasama ini ialah GMat Sdn Bhd, Yayasan Pemerkasaan Pendidikan dan Kemahiran, Go Sport Ventures Sdn Bhd serta Media Communication Sdn Bhd.

Presiden MPM, Dato’ Sri Megat D. Shahriman berkata jalinan kerjasama ini sangat bermakna kerana ia membuka ruang pelaksanaan pelbagai program di bawah MPM.

“Empat syarikat yang bekerjasama ini meliputi pelbagai bidang – GMat dalam pembangunan atlet, Yayasan dalam peluang pekerjaan untuk atlet dan bekas atlet, Media Communication dalam penyiaran acara sukan, dan Go Sport dalam pembangunan atlet ID serta penganjuran acara sukan khas,” jelas beliau.

Beliau turut menambah bahawa MPM sedang giat mencari rakan strategik yang bersifat ‘bisnes minded’ dan mampu menyumbang secara aktif, bukan hanya menerima semata-mata. Dalam masa sebulan ini, MPM turut merancang kerjasama bersama Yayasan Paralimpiak Malaysia untuk melaksanakan inisiatif komersial.

Pada majlis yang berlangsung pada 28 Mei 2025 di Pusat Kecemerlangan Paralimpik Malaysia, MPM turut mengumumkan tiga pelancaran utama iaitu Buku 35 Tahun Majlis Paralimpik Malaysia, Setem Korporat Edisi Khas dan Majlis Makan Malam Amal MPM.

Setem edisi khas yang memaparkan wajah atlet-atlet paralimpik negara bakal diterbitkan dalam tempoh dua bulan sebagai tanda penghormatan kepada sumbangan mereka. Manakala buku khas 35 tahun pula akan dilancarkan secara rasmi sempena Majlis Makan Malam Amal MPM.
—CSN MEDIA—
