
Berita oleh Taufik Azri untuk CSN Media.

AZROY TEGASKAN DOMINASI DENGAN KEMENANGAN GEMILANG DI LAMAN SENDIRI
SEPANG, 31 MEI 2025 – Pelumba sensasi negara, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA mencetuskan kegembiraan peminat tempatan apabila meraih kemenangan bergaya dalam Perlumbaan 1 bagi Pusingan 2 kategori ASB1000 Kejuaraan Lumba Motosikal Asia IDEMITSU FIM 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.
Dalam sesi kelayakan, pelumba Thailand, Apiwath Wongthananon dari pasukan A1 ENERGY BMW RACING TEAM memecahkan rekod catatan masa terpantas litar yang berusia lima tahun milik Markus Reiterberger (2020), dengan masa 2’04.597s untuk meraih petak utama. Pelumba tempatan, Hafizh Syahrin Abdullah dari JDT RACING TEAM mencatatkan masa kedua terpantas (2’04.758s), manakala Azroy bermula dari petak ketiga dengan masa 2’04.928s.
Sebaik sahaja perlumbaan bermula, Azroy mempamerkan permulaan cemerlang dengan terus mendahului kelompok hadapan. Hafizh mengikut rapat di tempat kedua, diikuti rakan sepasukan Azroy, Md Zaqhwan Zaidi — sekali gus menyaksikan tiga pelumba Malaysia mendominasi kelompok teratas.
Azroy mula mencipta jurang selesa, manakala perebutan tempat kedua menjadi semakin sengit antara Hafizh dan Zaqhwan yang saling bertukar kedudukan dalam saingan penuh dramatik. Pada pusingan ke-6, Apiwath yang sedang mengejar dari P6 ke P4, terpaksa menarik diri akibat masalah mekanikal — satu penamat mengecewakan selepas aksi cemerlangnya di sesi kelayakan.

Kejutan turut berlaku pada pusingan ke-8 apabila pelumba HONDA RACING THAILAND, Nakarin Atiratphuvapat terbabas. Walaupun kembali ke trek, beliau gagal memberikan saingan untuk kedudukan podium.
Menjelang pusingan ke-10, Azroy berjaya mencipta jurang dua saat di hadapan, manakala Hafizh, Zaqhwan, dan Andi Farid Izdihar (ASTRA HONDA RACING TEAM) terlibat dalam pertarungan sengit untuk tempat kedua. Aksi kejar-mengejar antara ketiga-tiga pelumba menyajikan pertukaran kedudukan yang mendebarkan hingga ke garisan penamat.
Akhirnya, Azroy menamatkan perlumbaan dengan penuh bergaya tanpa cabaran untuk mencatat masa keseluruhan 25’22.336s. Hafizh memanfaatkan peluang di pusingan akhir untuk memintas Zaqhwan dan meraih tempat kedua dengan masa 25’25.090s, manakala Zaqhwan di tempat ketiga (25’25.278s).
“Saya bersyukur dengan kemenangan ini. Terima kasih kepada pasukan atas usaha sepanjang minggu dan juga rakan sepasukan, Zaqhwan, atas perancangan strategi perlumbaan yang baik. Sejujurnya, jika Hafizh dan Zaqhwan tidak bersaing sesama sendiri, mungkin mereka boleh mengejar saya. Saya berpuas hati dengan konsistensi masa sekitar 2’06.000s setiap pusingan, walaupun saya sebenarnya sasarkan masa 2’05.000s. Apa pun, masih ada perlumbaan esok, jadi kami akan teruskan momentum ini,” kata Azroy.
5 CATATAN TERPANTAS – PERLUMBAAN 1
- Azroy Hakeem Anuar – IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA (25’22.336s)
- Hafizh Syahrin Abdullah – JDT RACING TEAM (25’25.090s)
- Md Zaqhwan Zaidi – IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA (25’25.278s)
- Keito Abe – SDG HARC-PRO. HONDA PHILIPPINES (25’25.758s)
- Md Adam Md Norrodin – AMI SUZUKI MOTORSPORT (25’33.817s)

ADENANTA CILIK PELUANG UNTUK MENANG BERGAYA DI SAAT AKHIR
SEPANG, 31 MEI 2025 – Perlumbaan 1 bagi Pusingan 2 kategori SS600 Kejuaraan Lumba Motosikal Asia IDEMITSU FIM 2025 menyajikan penamat mendebarkan apabila Mohammad Adenanta Putra dari pasukan ASTRA HONDA RACING TEAM berjaya merangkul kemenangan dramatik di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia.
Sesi kelayakan menyaksikan pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan HONG LEONG YAMAHA RACING muncul terpantas dengan catatan masa 2’08.709s. Muhammad Helmi Azman dari IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA berada di tempat kedua dengan masa hanya 0.011s lebih perlahan (2’08.720s), diikuti rakan sepasukannya Khairul Idham Pawi di tempat ketiga dengan 2’08.918s.
Sebaik sahaja lampu hijau menyala, Kasma memulakan perlumbaan dengan sempurna, mengetuai kelompok hadapan diikuti rapat oleh Khairul, Helmi dan Adenanta. Namun, satu kesilapan di selekoh terakhir pusingan pembukaan menyaksikan Kasma kehilangan momentum, membolehkan Helmi dan Khairul mengambil alih kedudukan hadapan.
Tidak berputus asa, Kasma kembali bangkit dan mencatatkan pusingan terpantas perlumbaan pada pusingan ke-4 dengan masa 2’09.882s, sekali gus menyertai semula perebutan takhta. Namun, drama tercetus di pusingan ke-5 apabila Helmi yang ketika itu mendahului perlumbaan dengan kelebihan 0.287s, terpaksa menjalani penalti long lap yang diterima sewaktu sesi kelayakan. Situasi ini memberikan ruang kepada Kasma untuk kembali memimpin, manakala Adenanta, Khairul, Wahyu Nugroho (YAMAHA RACING INDONESIA) dan Thanat Laoongplio (HONDA RACING THAILAND) turut mengambil kesempatan memperbaiki kedudukan.

Helmi yang kembali ke trek selepas penalti mendapati dirinya terperangkap dalam kelompok tengah dan terlibat dalam saingan sengit bersama Anupab Sarmoon dari Thailand. Anupab berjaya memintas Helmi dan memulakan kebangkitan cemerlang, memotong satu demi satu pelumba untuk kembali memburu podium.
Pusingan terakhir menjadi pentas kepada pertarungan epik antara Kasma dan Adenanta. Di selekoh terakhir, Adenanta melancarkan serangan berani dari bahagian luar menggunakan slipstream untuk memintas Kasma sebelum memecut ke garisan penamat dan merangkul kemenangan penuh bergaya dengan masa 21’52.467s.
Kasma terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan beza hanya 0.172s (21’52.639s), manakala Anupab yang melakukan kebangkitan luar biasa berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 21’52.811s.
“Perlumbaan kali ini agak sukar untuk saya. Kasma dan Helmi sangat laju, jadi saya cuba perbaiki dari satu pusingan ke pusingan lain. Saya kekal tenang dan simpan tenaga sehingga saya dapat mendekati Kasma. Dalam dua atau tiga pusingan terakhir, dia masih sangat kuat dan susah untuk saya cari ruang. Saya tunggu peluang yang tepat, dan di selekoh terakhir saya gunakan slipstream dan pintas dari luar — dan ia menjadi. Saya sangat gembira dan akan beri yang terbaik lagi esok,” kata Adenanta.
5 CATATAN TERPANTAS – PERLUMBAAN 1
- Mohammad Adenanta Putra – ASTRA HONDA RACING TEAM (21’52.467s)
- Kasma Daniel Kasmayudin – HONG LEONG YAMAHA RACING (21’52.639s)
- Anupab Sarmoon – YAMAHA THAILAND RACING TEAM (21’52.811s)
- Thanat Laoongplio – HONDA RACING THAILAND (21’53.107s)
- Khairul Idham Pawi – IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA (21’53.334s)

ARBI ATASI HAD RPM UNTUK MENANG DENGAN PENUH GAYA
SEPANG, 31 MEI 2025 – Pelumba muda Indonesia, Fadillah Arbi Aditama dari pasukan ASTRA HONDA RACING TEAM membuktikan ketahanan mental dan kecekapan tunggangan apabila meraih kemenangan penuh bergaya dalam Perlumbaan 1 kategori AP250 di Pusingan 2 Kejuaraan Lumba Motosikal Asia IDEMITSU FIM 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia.
Dalam sesi kelayakan awal, Riichi Takahira dari pasukan TY Antares Racing Team muncul sebagai pelumba terpantas dengan catatan masa 2’23.259s. Pelumba Vietnam, Cao Viet Nam (HONDA RACING VIETNAM TEAM) menempati petak kedua dengan masa 2’23.516s, manakala Candra H dari YAMAHA RACING INDONESIA melengkapkan barisan hadapan dengan 2’23.634s.
Sebaik perlumbaan bermula, Riichi melakukan permulaan cemerlang dan mendahului perlumbaan di peringkat awal, diikuti rapat oleh Galang Hendra Pratama (YAMAHA BAF YAMALUBE AKAI JAYA MBKW2 RACING) dan Mohammad Murobbil Vittoni (YAMAHA LFN HP969 INDONESIA RACING TEAM). Arbi yang bermula dari petak ketujuh, mempamerkan tunggangan bertenaga apabila berjaya memintas satu demi satu pelumba dan mendahului perlumbaan pada pusingan ke-3.
Pada pusingan ke-4, Candra mencatat kelajuan tertinggi di laluan lurus belakang dan berjaya merampas kedudukan pendahulu buat seketika, namun Arbi bertindak balas pantas dan kembali memimpin pada pusingan ke-5. Dalam masa yang sama, Irfan Ardiansyah dari pasukan MAEZTRO NWN SCK HONDA RACING TEAM mempamerkan tunggangan agresif apabila mara ke tempat kedua dan semakin menghampiri Arbi. Sementara itu, Cao Viet Nam yang turut bersaing untuk kelompok hadapan terpaksa menarik diri selepas terjatuh.

Detik mencemaskan berlaku pada pusingan terakhir apabila dua pelumba, Krittapat Keankum (YAMAHA THAILAND RACING TEAM) dan Aldiaz Aqsal Ismaya (YAMAHA BAF YAMALUBE AKAI JAYA MBKW2 RACING), yang berada di kedudukan keempat dan kelima, terbabas di selekoh terakhir dan sekali gus terlepas peluang menaiki podium.
Meskipun berdepan kekangan had RPM disebabkan peraturan teknikal, Arbi kekal fokus dan tenang sebelum menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 19’22.493s. Irfan menamatkan perlumbaan di tempat kedua (19’23.119s), manakala pelumba Malaysia, Md Izam Ikmal Izamli dari pasukan VICTOR RACING TEAM, meraih tempat ketiga dengan beza hanya 0.038s (19’23.157s).
“Ini adalah hujung minggu yang sangat mencabar buat saya. Disebabkan had RPM, saya perlu cari kelebihan lain dari dalam diri sendiri. Yamaha mempunyai tork yang kuat, jadi saya fokus kepada konsistensi. Sejak FP1 lagi saya berlatih bersendirian dan fokus kepada rentak dan gaya tunggangan. Ia memang sukar dari sesi latihan hinggalah ke kelayakan, tetapi akhirnya usaha keras saya dan pasukan membuahkan hasil. Saya amat berterima kasih kepada pasukan atas kerja cemerlang mereka,” kata Arbi.
5 CATATAN TERPANTAS – PERLUMBAAN 1
- Fadillah Arbi Aditama – ASTRA HONDA RACING TEAM (19’22.493s)
- Irfan Ardiansyah – MAEZTRO NWN SCK HONDA RACING TEAM (19’23.119s)
- Md Izam Ikmal Izamli – VICTOR RACING TEAM (19’23.157s)
- Riichi Takahira – TY Antares Racing Team (19’23.544s)
- Muhammad Irfan Haykhal Amidi – MAEZTRO NWN SCK HONDA RACING TEAM (19’23.830s)

HUSNI MENANG DALAM PERLUMBAAN PENDEK PENUH DRAMA
SEPANG, 31 MEI 2025 – Perlumbaan 1 kategori Underbone 150 (UB150) pada Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia IDEMITSU FIM 2025 menyajikan aksi dramatik di Litar Antarabangsa Sepang apabila Husni Zainul Fuadzy dari pasukan ZIEAR LFN HP969 MCR RBT 34 muncul juara dalam perlumbaan pendek yang penuh kekalutan.
Sesi Super Pole yang berlangsung lebih awal menyaksikan Md Akid Aziz dari pasukan Pitsbike Superfast JRT Racing Team mencatat masa terpantas 2’34.094s untuk bermula di petak utama. Rakan sepasukan beliau, Ahmad Afif Amran, mengekori rapat di tempat kedua dengan 2’34.624s manakala Fahmi Basam (YAMAHA LFN HP969 INDONESIA RACING TEAM) melengkapkan barisan hadapan dengan 2’34.761s.
Perlumbaan bermula dengan Akid mengekalkan kedudukan pendahulu diikuti rapat oleh Afif dan Nazirul Izzat Md Bahauddin dari pasukan UMA RACING YAMAHA MAJU MOTOR ASIA TEAM. Namun, perlumbaan terpaksa dihentikan (red flag) akibat insiden kemalangan melibatkan Fahmi Basam di Selekoh 4, yang menyebabkan tumpahan minyak di atas trek.
Selepas kerja pembersihan dilakukan, perlumbaan dimulakan semula dalam format lebih pendek – hanya empat pusingan – tanpa kehadiran juara UB150 2024, Fahmi, yang tidak dapat meneruskan perlumbaan.

Sebaik lampu hijau menyala semula, Akid kembali mendahului tetapi dengan pantas dipintas oleh Nazirul di Selekoh 1. Pertarungan di kelompok hadapan menjadi sengit dengan pertukaran kedudukan yang berterusan sepanjang perlumbaan singkat itu, mencetuskan suasana mendebarkan dari awal hingga akhir.
Kemuncak perlumbaan berlaku pada pusingan terakhir apabila semua pelumba mula membuat gerakan berani untuk merebut kemenangan. Di selekoh terakhir yang kritikal, Husni melakukan tindakan bijak apabila berjaya menyusup ke hadapan dan menamatkan perlumbaan dengan kemenangan bergaya dalam masa 10’30.863s.
Wahyu Aji Trilaksana dari pasukan RACETECH SIXTY Racing menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan catatan 10’31.283s, manakala Akid, yang bermula dari petak utama, melengkapkan podium di tempat ketiga (10’31.297s).
“Alhamdulillah, perlumbaan hari ini membuahkan hasil yang sangat positif, dan saya amat bersyukur. Saya dan pasukan bekerja keras untuk sampai ke tahap ini, dan sangat menggembirakan apabila ia membuahkan hasil. Harapnya kami dapat kekalkan momentum ini untuk Perlumbaan 2 esok dan sekali lagi merebut peluang naik podium,” kata Husni selepas perlumbaan.
5 CATATAN TERPANTAS – PERLUMBAAN 1
- Husni Zainul Fuadzy – ZIEAR LFN HP969 MCR RBT 34 (10’30.863s)
- Wahyu Aji Trilaksana – RACETECH SIXTY Racing (10’31.283s)
- Md Akid Aziz – Pitsbike Superfast JRT Racing Team (10’31.297s)
- Ahmad Afif Amran – Pitsbike Superfast JRT Racing Team (10’31.768s)
- Nazirul Izzat Md Bahauddin – UMA RACING YAMAHA MAJU MOTOR ASIA TEAM (10’31.802s)

RAMDAN UNGGUL DI LAMAN SENDIRI HASIL AKSI SAAT AKHIR
SEPANG, 31 MEI 2025 – Perlumbaan 1 Kejuaraan TVS Asia One Make yang berlangsung serentak dengan Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia IDEMITSU FIM 2025 di Litar Antarabangsa Sepang menyaksikan pelumba tempatan, Md Ramdan Rosli, mencuri tumpuan apabila meraih kemenangan penuh dramatik di hadapan penyokong sendiri.
Terdahulu pada sesi kelayakan, Ramdan mempamerkan tunggangan cemerlang dengan mencatat masa terpantas 2’20.784s untuk menduduki petak utama. Pelumba Jepun, Hiroki Ono, mencatat masa kedua terbaik 2’21.858s, manakala Sarthak Chavan dari India melengkapkan barisan hadapan dengan 2’22.752s.
Sebaik perlumbaan bermula, Ramdan terus menguasai perlumbaan dengan permulaan yang mantap sambil dikejar rapat oleh Sarthak dan Hiroki. Ketiga-tiga pelumba ini merupakan pencabar utama kejuaraan pada musim 2024 dan sekali lagi mempamerkan persaingan sengit.
Menjelang pusingan kedua, ketiga-tiga pelumba di hadapan berjaya mencipta jurang dua saat dari kelompok pengejar di belakang, mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu perlumbaan.
Pada pusingan keempat, Hiroki berjaya merampas kedudukan pendahulu namun kesilapan di Selekoh 14 menyebabkan beliau terbabas sedikit, memberi peluang kepada Ramdan dan Sarthak untuk memintas. Meskipun begitu, Hiroki bangkit pantas untuk kembali mengetuai perlumbaan.
Namun, segalanya berubah pada pusingan terakhir. Di selekoh penentu, Ramdan melakukan gerakan berani dengan memintas Hiroki dari dalam dan menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan masa keseluruhan 14’20.495s, memberikan kemenangan yang cukup bermakna di tanah air sendiri.
Hiroki terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan 14’20.661s, manakala Sarthak melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan catatan 14’21.081s.
“Saya sangat gembira dapat menamatkan perlumbaan di atas podium hari ini. Pada hari Jumaat, saya hadapi masalah besar dengan jentera tetapi saya kekal positif. Pagi ini, saya rasa sangat baik, saya segarkan fikiran dan fokus untuk menang di laman sendiri – dan saya berjaya! Saya buktikan bahawa saya mampu menang. Kemenangan ini saya dedikasikan buat kru saya yang telah bekerja keras dua hari ini, juga untuk keluarga saya – isteri dan anak saya yang menonton dari rumah. Hari ini benar-benar istimewa. Terima kasih!” ujar Ramdan.
5 CATATAN TERPANTAS – PERLUMBAAN 1
- Md Ramdan Rosli – Malaysia (14’20.495s)
- Hiroki Ono – Jepun (14’20.661s)
- Sarthak Chavan – India (14’21.081s)
- Luis Miguel – Sepanyol (14’25.705s)
- Chiranth Vishwanath – India (14’25.755s)
—CSN MEDIA—
