Skip to main content

JDT SAH KE SEPARUH AKHIR! TUNDUKKAN PENANG FC 4-1 DI SSI!

ISKANDAR PUTERI, 9 Okt – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kemaraan ke pusingan separuh akhir Piala FA 2026/27 secara bergaya selepas menundukkan Penang FC 4-1 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, petang tadi. Kemenangan bergaya di laman sendiri itu melengkapkan kejayaan Harimau Selatan melangkah ke kelompok empat terbaik dengan keputusan agregat yang cukup mendominasi, 11-3.

Berbekalkan kelebihan 7-2 dari aksi pertama di Stadium Bandaraya, JDT turun tanpa sebarang tekanan dan terus menguasai tempo perlawanan. Penyerang sensasi, Bérgson da Silva, tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-13. Tuan rumah makin selesa mengukuhkan cengkaman menerusi jaringan Nacho Méndez pada minit ke-23, sebelum Shahab Zahedi meledak gol ketiga pada penghujung babak pertama (45′) bagi melengkapkan kelebihan 3-0 menuju ke bilik persalinan.

Memasuki separuh masa kedua, JDT melakukan beberapa pertukaran pemain bagi mengimbangi tempo dan mengawal ruang. Pesta gol tuan rumah bertambah seram apabila gergasi selatan itu meledak jaringan keempat untuk terus mematikan sisa perjuangan pelawat. Penang FC yang berjuang hingga wisel penamat akhirnya mendapat gol saguhati menerusi rembatan Stefano Brundo pada minit ke-86, namun jaringan tersebut tidak mengganggu keikhtirafan JDT untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Pencapaian cemerlang dengan agregat 11-3 ini membuktikan kekuatan skuad kendalian JDT dalam mempertahankan kejuaraan domestik, sekali gus menghantar isyarat jelas kepada bakal lawan di pusingan separuh akhir kelak.

— CSNSPORTSTALK

Berita oleh: Hafiz Hassan | Gambar oleh: Fazli Ahmad

    Comments are closed

    © 2024-2026 CSN Media. All rights reserved.