You are currently viewing Dr. Norza Sampaikan Ucaptama Persidangan Gender ASEAN 2025

Dr. Norza Sampaikan Ucaptama Persidangan Gender ASEAN 2025

Gambar oleh Olympic Council of Malaysia. Berita oleh Taufik Azri untuk CSN Media.

Gambar oleh Olympic Council of Malaysia.

Sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia telah diberi mandat untuk menganjurkan pelbagai program berkaitan belia dan sukan bagi komuniti ASEAN. Selaras dengan inisiatif ini, KBS melalui Majlis Sukan Negara menganjurkan Persidangan ASEAN Mengenai Kesetaraan Gender dalam Sukan 2025 yang bertemakan “Breaking Barriers, Building Champions – Together” pada 24 hingga 26 Jun 2025 di Cititel Penang, Malaysia.

Persidangan yang menghimpunkan lebih 200 delegasi dari 10 negara ASEAN dan Timor-Leste ini dirasmikan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia pada 24 Jun 2025. Turut diundang menyampaikan ucaptama ialah Dr. Norza Zakaria, Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) merangkap Presiden NOC Malaysia.

Gambar oleh Olympic Council of Malaysia.

Dalam ucapannya bertajuk “Women in Leadership: Elevating Sports, Inspiring Generations”, Dr. Norza menzahirkan penghargaan kepada KBS atas penganjuran yang tepat pada masanya serta memuji kepimpinan YB Hannah Yeoh dalam memperjuangkan kesetaraan gender dalam sukan. Beliau menyatakan bahawa walaupun industri sukan lazimnya didominasi lelaki, kini semakin ramai wanita memimpin dalam pelbagai sektor sukan, membawa inovasi dan pertumbuhan yang lebih inklusif.

Beliau turut berkongsi kejayaan pemimpin wanita dari Asia seperti Khunying Patama Leeswadtrakul (Thailand) dan Zhang Hong (China), serta inisiatif kesetaraan gender oleh NOC Malaysia, termasuk pelantikan Nicol David sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Olimpik Paris 2024, dan pelantikan beberapa tokoh wanita seperti Nurul Huda Abdullah, Moira Tan dan Shalin Zulkifli ke jawatan kepimpinan dalam NOC Malaysia.

Gambar oleh Olympic Council of Malaysia.

Ucapan Dr. Norza diakhiri dengan seruan kepada semua delegasi agar aktif dalam perbincangan serta membentuk resolusi bersama ke arah mewujudkan persekitaran sukan yang lebih inklusif dan mesra wanita di peringkat ASEAN.

#KesetaraanGender

#SukanUntukSemua

#OlympicMovement

#WanitaDalamSukan

—CSN MEDIA—