You are currently viewing Aksi Panas Cub Prix 2025 Gegar Litar LYL

Aksi Panas Cub Prix 2025 Gegar Litar LYL

Berita oleh Taufik Azri untuk CSN Media.

Afif Rangkul Kemenangan Dramatik di Pusingan 3 Cub Prix 2025

Perlumbaan kelas CP150 dalam Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Litar LYL International Karting Circuit menyaksikan aksi mendebarkan apabila Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING merangkul kemenangan mengejut pada pusingan terakhir.

Sesi Super Pole pagi menyaksikan Kasma Daniel (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR) bermula di petak utama dengan catatan masa terpantas 1’09.717s, diikuti Azroy Hakeem (HONDA ESTREMO YUZY RACING) dan Afif di tempat ketiga. Perlumbaan bermula dengan Azroy menguasai kedudukan teratas, sebelum Kasma mengambil alih tetapi dikenakan penalti ‘Ride Through’ akibat ‘Jump Start’.

Kejutan berlaku di pusingan akhir apabila Afif, yang mengekori rapat sepanjang perlumbaan, memintas Azroy untuk merangkul kemenangan dengan catatan masa 18’48.052s. Azroy menamatkan saingan di tempat kedua, manakala rakan sepasukannya Ahmad Darwisy Ahmad Sahir melengkapkan podium di tempat ketiga.

Menurut Afif, beliau tidak menyangka kemenangan tersebut kerana prestasi Kasma dan Azroy yang dominan sepanjang hujung minggu, namun jentera yang mantap dan peluang tepat di pusingan akhir menjadi kunci kejayaannya.

Idlan Haqimi Tampil Juara CP125 di Cub Prix 2025 Pusingan 3

Perlumbaan kelas CP125 di Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 menyaksikan aksi mendebarkan apabila Md Idlan Haqimi Raduan dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM muncul juara selepas pertarungan sengit di Litar LYL International Karting Circuit, Monkeys Canopy.

Dalam sesi “Shoot-Out”, rakan sepasukan Idlan, Md Farish Iqmal, bermula dari petak utama dengan catatan masa 1’12.479s, diikuti Idlan dan Md Syamil Amsyar (PETRONAS SPRINTA YAMAHA 31 RACING) di petak ketiga. Perlumbaan dimulakan dengan dominasi dua pelumba ZYNERGYS sebelum Adib Arsyad (PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR) mencuri tumpuan dengan memintas ke hadapan pada pusingan ke-4.

Insiden berlaku pada pusingan ke-11 apabila tiga pelumba – Farish, Syamil dan Harith Farhan – terbabit dalam kemalangan ketika berebut tempat ketiga. Situasi itu memberi ruang kepada pelumba lain untuk merebut tempat di podium.

Kemenangan Idlan disahkan pada pusingan terakhir selepas beliau berjaya melakukan pintasan bersih ke atas Adib dan menamatkan perlumbaan dengan masa 14’44.063s. Adib berada di tempat kedua, manakala Md Khairi Asyraf (JETRON YAMAHA YYPANG RACING TEAM) melengkapkan kedudukan podium.

Idlan menyifatkan kemenangan ini sebagai pencapaian bermakna hasil usaha keras dirinya, pasukan serta sokongan padu daripada keluarga yang menjadi tulang belakang perjuangannya sepanjang musim.

Farres Putra Ungguli Kategori Wira KBS di Cub Prix 2025 Pusingan 3

Aksi sengit mewarnai perlumbaan kategori Wira KBS dalam Pusingan 3 Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 yang berlangsung di Litar LYL International Karting Circuit, Monkeys Canopy, apabila pelumba PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, Farres Putra Md Fadhil, menampilkan tunggangan bertenaga untuk muncul juara.

Adi Putra Anahar (ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM) memulakan perlumbaan dari petak utama dengan masa 1’13.016s, diikuti Farres dan rakan sepasukan Adi, Md Akif Abdullah, di petak ketiga. Perlumbaan dimulakan dengan pantas apabila Farres merampas kedudukan pendahulu seawal pusingan pertama, diikuti rapat oleh Akif dan Adi yang membentuk trio dominan di hadapan.

Tumpuan turut terarah kepada kebangkitan pelumba YAMAHA ESTREMO 27 RACING, Md Akid Md Shah Khearul Nisiam, yang memulakan perlumbaan dari petak ke-12. Aksi konsisten membolehkannya memintas pelumba-pelumba di hadapan dan menyertai kelompok teratas menjelang pusingan ke-8.

Walaupun Akid cuba mencabar Akif pada pusingan akhir, pertarungan itu memberi ruang kepada Farres untuk terus menjarakkan diri dan melintasi garisan penamat dengan masa 12’25.887s. Akif meraih tempat kedua (12’26.348s), manakala Akid melengkapkan podium di tempat ketiga (12’26.724s).

Farres menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil kerjasama mantap pasukan serta latihan tambahan yang membantu kawalan jentera. Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pasukan teknikal dan keluarganya, terutama pesanan ibunya untuk kekal tenang dan fokus sepanjang perlumbaan.

—CSN MEDIA—