
Gambar oleh MFL Malaysia. Berita oleh Taufik Azri untuk CSN Media.
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Malaysian Football League (MFL) hari ini mengesahkan sebanyak 13 kelab akan bersaing dalam saingan Liga Malaysia musim 2025-2026 yang dijadual bermula pada 8 Ogos ini.
Senarai pasukan yang akan berentap merebut kejuaraan termasuklah Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC, DPMM FC dari Brunei, serta dua pasukan daripada AFL A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC.
Kesemua pasukan ini telah menerima Lesen Kebangsaan 2025-2026 daripada First Instance Body (FIB), termasuk DPMM FC yang turut mendapat kelulusan daripada FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk beraksi di Liga Malaysia musim ini.
Bagaimanapun, Sri Pahang FC yang turut memperoleh lesen kebangsaan, telah membuat keputusan menarik diri daripada saingan selepas menghantar surat pengesahan bertarikh 16 Jun 2025 kepada pihak MFL.
Kepulangan DPMM FC ke dalam kancah bola sepak Malaysia dan kemunculan dua kelab baharu daripada AFL A1 dijangka menyuntik nafas segar kepada saingan kali ini yang diramalkan lebih menarik.
Musim baharu Liga Malaysia akan dimulakan dengan perlawanan Piala Sumbangsih yang menemukan juara bertahan Liga Super, JDT menentang naib juara Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 8 Ogos 2025.
Sementara itu, saingan Piala FA akan bermula pada pertengahan Ogos, diikuti Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup yang dijadual berlangsung bermula Januari 2026.
Untuk musim ini, tempoh saingan Liga Malaysia dijangka berlangsung selama 10 bulan, susulan proses penyelarasan kalendar musim terdahulu yang mengambil masa 14 bulan bagi menyesuaikan jadual dengan liga-liga utama antarabangsa.
MFL memaklumkan jadual penuh Liga Malaysia 2025-2026 akan diumumkan tidak lama lagi. Namun, penyediaan jadual penuh masih tertangguh memandangkan AFC hanya akan mengadakan undian untuk ACL Elite dan ACL 2 yang membabitkan JDT dan Selangor FC pada 15 Ogos 2025. Selain itu, MFL juga sedang menunggu maklumat lanjut daripada AFF berkenaan tarikh rasmi kejohanan Kejohanan Kelab Asean yang turut melibatkan penyertaan kedua-dua kelab tersebut.
—CSN MEDIA—
