You are currently viewing BACK-TO-BACK 1st PLACE!!!

BACK-TO-BACK 1st PLACE!!!

Berita oleh Taufik Azri untuk CSN Media.

AZROY CATAT DUA KEMENANGAN BERSEJARAH DI LAMAN SENDIRI

SEPANG, 1 JUN 2025 – Pelumba negara, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA mencuri perhatian ribuan penyokong tempatan apabila berjaya merangkul kemenangan berganda dalam kategori ASB1000 sempena Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia IDEMITSU FIM 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Selepas kejayaan cemerlang dalam Perlumbaan 1 pada hari Sabtu, Azroy mengulangi pencapaian hebat dengan sekali lagi menjuarai Perlumbaan 2 pada Ahad, mencatat masa kemenangan 25’23.640s, sekaligus menjadikan hujung minggunya sebagai yang terbaik musim ini.

Seawal pusingan pertama, Azroy mempamerkan niat untuk menang apabila berjaya memintas Hafizh Syahrin Abdullah dari pasukan JDT RACING TEAM yang memulakan perlumbaan dengan baik. Namun, perjalanan ke podium tidak mudah apabila beliau berdepan tekanan berterusan daripada Hafizh dan pelumba Thailand, Apiwath Wongthananon (A1 ENERGY BMW RACING TEAM), yang silih berganti mengetuai perlumbaan. Azroy bahkan sempat jatuh ke kedudukan kelima.

Tidak mengalah, Azroy bangkit semula dengan mencatat pusingan terpantas perlumbaan iaitu 2’06.134s untuk kembali menerajui perlumbaan pada pusingan keempat. Persaingan antara beliau dan Hafizh semakin sengit selepas itu apabila kedua-duanya berentap untuk kejuaraan di tanah air sendiri.

Sementara itu, pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar dari pasukan ASTRA HONDA RACING TEAM turut menunjukkan peningkatan mendadak apabila mara dari kedudukan keenam ke tempat ketiga. Malangnya, usahanya tidak kesampaian apabila beliau terjatuh pada pusingan kesembilan, sekaligus membuka peluang kepada Keito Abe (SDG HARC-PRO. HONDA PHILIPPINES) dan Azlan Shah Kamaruzaman (A1 ENERGY BMW RACING TEAM) untuk memperbaiki kedudukan.

Di penghujung perlumbaan, Azroy dan Hafizh mencatat kelajuan melebihi 300 km/j dan mencipta jurang lima saat dari pelumba lain, namun Azroy kekal konsisten dan tenang untuk memastikan kemenangan keduanya hujung minggu ini, sekaligus mendahului kedudukan keseluruhan kejuaraan dengan 71 mata.

Hafizh menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 25’24.408s manakala Keito Abe melengkapkan podium dengan 25’28.751s.

“Ini kali pertama saya dapat podium berganda dan kemenangan berganda, jadi saya sangat gembira. Terima kasih kepada pasukan saya atas kerja keras mereka – tanpa mereka saya tak akan berada di sini. Saya cuba ikut rentak seperti semalam, tapi hari ini cuaca lebih panas jadi saya perlu jaga tayar dengan lebih berhati-hati. Awal perlumbaan saya jatuh ke P5 atau P6, tapi saya cuba bangkit. Saya rasa ada masalah pada tayar, jadi saya hanya kawal kelajuan. Hafizh rapat dan kadang jauh – itu buat saya yakin dengan pace saya. Saya kawal perlumbaan hingga ke garisan penamat. Sangat puas hati dan saya harap dapat ulanginya di pusingan seterusnya,” jelas Azroy selepas perlumbaan.

5 CATATAN TERPANTAS – PERLUMBAAN 2 (ASB1000)

  1. Azroy Hakeem Anuar – IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA (25’23.640s)
  2. Hafizh Syahrin Abdullah – JDT RACING TEAM (25’24.408s)
  3. Keito Abe – SDG HARC-PRO. HONDA PHILIPPINES (25’28.751s)
  4. Nakarin Atiratphuvapat – HONDA RACING THAILAND (25’30.856s)
  5. Azlan Shah Kamaruzaman – A1 ENERGY BMW RACING TEAM (25’31.436s)

KEBANGKITAN MENAKJUBKAN KEMBALIKAN MAHKOTA HELMI

SEPANG, 1 JUN 2025 – Pelumba tuan rumah, Muhammad Helmi Azman dari pasukan IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA menebus kekecewaan semalam dengan satu persembahan luar biasa apabila menjuarai Perlumbaan 2 kategori SS600 dalam Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia IDEMITSU FIM 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Kemenangan ini bukan sekadar satu kejayaan perlumbaan, sebaliknya menjadi simbol kebangkitan semula buat Helmi selepas gagal menaiki podium dalam Perlumbaan 1 akibat dikenakan penalti long lap. Hari ini, beliau membuktikan mengapa dirinya masih digelar antara “Putera Sepang”.

Perlumbaan bermula dengan Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan HONG LEONG YAMAHA RACING mendahului seawal selekoh pertama, diikuti rapat oleh rakan sepasukan Helmi, Khairul Idham Pawi serta Mohammad Adenanta Putra dari pasukan ASTRA HONDA RACING TEAM. Malang menimpa Thanat Laoongplio (HONDA RACING THAILAND) yang terlibat dalam kemalangan dan terpaksa menarik diri seawal pusingan pertama.

Menjelang pusingan kedua, lima pelumba – Khairul, Kasma, Adenanta, Wahyu Nugroho (YAMAHA RACING INDONESIA) dan Helmi – mula memisahkan diri daripada kelompok utama dengan jarak sekitar dua saat.

Adenanta memimpin pada pusingan ketiga, namun Helmi yang tenang di belakang mula mengatur gerakan dan berjaya melonjak ke kedudukan pertama pada pusingan keempat, satu langkah taktikal yang memukau penonton.

Pusingan kelima menyaksikan Khairul merekodkan masa terpantas 2’10.607s untuk merampas kedudukan pendahulu, namun Helmi kekal fokus dan kembali mendahului. Malang sekali lagi buat Adenanta apabila terpaksa bersara pada pusingan keenam akibat masalah teknikal, sekaligus menamatkan perlumbaan dengan penuh kecewa.

Tidak mahu mensia-siakan peluang, Helmi terus menekan pedal gas dan mencatat masa terpantas perlumbaan 2’10.211s pada pusingan kelapan, melebarkan jurang kepada 2.300s daripada Khairul. Kasma cuba untuk mengejar namun terjatuh, memberi laluan kepada Anupab Sarmoon (YAMAHA THAILAND RACING TEAM), Wahyu dan Syarifuddin untuk bersaing merebut tempat ketiga.

Helmi akhirnya melintasi garisan penamat dengan penuh bergaya, sekali gus menebus maruah dan membuktikan kehebatannya sebagai antara yang terbaik di Sepang dengan catatan masa 21’54.507s.

Rakan sepasukannya, Khairul Idham Pawi meraih tempat kedua dengan masa 21’56.835s manakala Anupab Sarmoon menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga dengan 21’57.045s.

“Untuk perlumbaan hari ini, matlamat utama saya adalah untuk menang kerana penalti long lap semalam betul-betul menghancurkan peluang saya. Saya beri lebih daripada 100% dalam perlumbaan ini. Alhamdulillah, kemenangan ini memberi motivasi penuh untuk baki perlumbaan musim ini,” kata Helmi selepas perlumbaan.

5 CATATAN TERPANTAS – PERLUMBAAN 2 (SS600)

  1. Muhammad Helmi Azman – IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA (21’54.507s)
  2. Khairul Idham Pawi – IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA (21’56.835s)
  3. Anupab Sarmoon – YAMAHA THAILAND RACING TEAM (21’57.045s)
  4. Muhammad Syarifuddin Azman – IDEMITSU HONDA RACING MALAYSIA (21’57.183s)
  5. Wahyu Nugroho – YAMAHA RACING INDONESIA (21’57.461s)

KRITTAPAT BANGKIT HINGGA KE GARIS PENAMAT UNTUK MENANG

SEPANG, 1 JUN 2025 – Pelumba dari pasukan YAMAHA THAILAND RACING TEAM, Krittapat Keankum tampil dengan semangat juang luar biasa apabila mencatat kemenangan penuh dramatik dalam Perlumbaan 2 kategori AP250 sempena Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia IDEMITSU FIM 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Perlumbaan dimulakan dengan Riichi Takahira (TY Antares Racing Team) mendahului di awal saingan, diikuti rapat oleh Krittapat dan Mohammad Murobbil Vitoni dari pasukan YAMAHA LFN HP969 INDONESIA RACING TEAM. Ketiga-tiga pelumba tersebut mempamerkan tunggangan mantap dalam kelompok hadapan yang kekal padat sepanjang beberapa pusingan awal.

Md Izam Ikmal Izamli (VICTOR RACING TEAM) turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila berjaya menyelit ke dalam kelompok teratas secara perlahan namun berstrategi.

Nasib malang sekali lagi menimpa Candra H dari pasukan YAMAHA RACING INDONESIA apabila berdepan masalah teknikal untuk kali kedua minggu ini selepas sekadar menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-15 dengan satu mata sahaja.

Namun tumpuan utama adalah kepada Krittapat yang tidak pernah menyerah kalah. Setiap kali dipintas, beliau segera membalas dengan aksi cemerlang, memberikan tekanan berterusan kepada pencabar terdekatnya.

Aksi perlumbaan mencapai kemuncaknya pada pusingan terakhir apabila Krittapat, Galang Hendra Pratama (YAMAHA BAF YAMALUBE AKAI JAYA MBKW2 RACING) dan Izam berjaya memisahkan diri daripada kelompok kedua dengan jurang 1.387 saat dalam usaha merebut gelaran juara.

Pada selekoh terakhir, Krittapat mempamerkan tunggangan sempurna, memintas di saat genting untuk mendahului dan akhirnya melintasi garisan penamat sebagai juara dengan catatan masa 19’28.544s.

Izam turut cemerlang apabila berjaya mengekori rapat dan menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 19’28.910s, manakala Galang menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan 19’29.165s, menjadikan podium kali ini didominasi sepenuhnya oleh pelumba Yamaha.

“Sewaktu berlumba, saya fikirkan setiap pusingan bagaimana untuk menjadi lebih laju dan menang. Seseorang pernah berkata kepada saya, ‘Jangan pernah berputus asa, walaupun kau tak menang.’ Saya sentiasa ingat kata-kata itu. Dan hari ini, dalam Perlumbaan 2, saya akhirnya berjaya menang. Terima kasih kepada insan tersebut,” kata Krittapat penuh emosi seusai perlumbaan.

5 CATATAN TERPANTAS – PERLUMBAAN 2 (AP250)

  1. Krittapat Keankum – YAMAHA THAILAND RACING TEAM (19’28.544s)
  2. Md Izam Ikmal Izamli – VICTOR RACING TEAM (19’28.910s)
  3. Galang Hendra Pratama – YAMAHA BAF YAMALUBE AKAI JAYA MBKW2 RACING (19’29.165s)
  4. Riichi Takahira – TY Antares Racing Team (19’29.343s)
  5. Mohammad Murobbil Vitoni – YAMAHA LFN HP969 INDONESIA RACING TEAM (19’29.948s)

HUSNI TERUS KEKALKAN HARAPAN KEJUARAAN DENGAN KEMENANGAN DI SEPANG

SEPANG, 1 JUN 2025 – Pelumba pasukan ZIEAR LFN HP969 MCR RBT 34, Husni Zainul Fuadzy meraih kemenangan dramatik dalam Perlumbaan 2 kategori AP250 sempena Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia IDEMITSU FIM 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Malaysia. Kemenangan ini merupakan yang ketiga buat Husni musim ini, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara pencabar utama kejuaraan.

Perlumbaan bermula dengan tumpuan tertumpu kepada pelumba tempatan, Md Akid Aziz dan Ahmad Afif Amran dari pasukan Pitsbike Superfast JRT Racing Team yang memulakan saingan dengan cemerlang sebagai pendahulu. Namun, kedudukan teratas sering bertukar tangan seawal Selekoh 1, menandakan saingan sengit bakal berlaku sepanjang perlumbaan.

Juara kategori UB150 musim 2024, Fahmi Basam (YAMAHA LFN HP969 INDONESIA RACING TEAM) sempat mendahului perlumbaan buat seketika sebelum Akid kembali merampas kedudukan. Nazirul Izzat Md Bahauddin (UMA RACING YAMAHA MAJU MOTOR ASIA TEAM) juga tidak ketinggalan memberi tekanan kepada kelompok teratas dengan tunggangan konsisten.

Detik paling dramatik berlaku pada pusingan terakhir apabila tiga pelumba – Masato Fernando (KOBY SEC YAMAHA RACING TEAM), Ahmad Afif Amran dan Muhammad Febriansyah (ONE FOR ALL) – terbabit dalam kemalangan di selekoh terakhir. Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Husni yang segera memecut ke hadapan untuk melintasi garisan penamat sebagai juara dengan catatan masa 15’43.635s.

Adytya Fauzi (JPNW SND FACTORY RACING) yang pada mulanya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 15’43.866s, dikenakan penalti +3 saat selepas perlumbaan akibat perilaku tidak sportif. Ini menyebabkan kedudukannya jatuh ke tangga ke-13 dalam keputusan rasmi.

Akibat perubahan itu, Fahmi Basam dinaikkan ke tempat kedua, manakala Nazirul Izzat yang sebelumnya keempat, melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

“Terima kasih kepada seluruh pasukan atas usaha mereka. Kemenangan ini saya tujukan juga buat rakan sepasukan saya, Gupita – semoga cepat sembuh. Saya akan terus kekalkan prestasi ini dan berjuang untuk kejuaraan hingga penghujung musim,” ujar Husni selepas perlumbaan.

5 CATATAN TERPANTAS – PERLUMBAAN 2 (AP250)

  1. Husni Zainul Fuadzy – ZIEAR LFN HP969 MCR RBT 34 (15’43.635s)
  2. Fahmi Bazam – YAMAHA LFN HP969 INDONESIA RACING TEAM (15’44.020s)
  3. Nazirul Izzat Md Bahauddin – UMA RACING YAMAHA MAJU MOTOR ASIA TEAM (15’44.106s)
  4. Awhin Sanjaya – YAMAHA LFN HP969 INDONESIA RACING TEAM (15’44.498s)
  5. Ahmad Fazrul Sham – CARDINALS Factory YAMAHA ZYNERGYS Racing Team ARRC (15’44.613s)

LENGKAPKAN PINTASAN SEMPURNA, LUIS RAIH KEMENANGAN MENDEBARKAN DI SEPANG

SEPANG, 1 JUN 2025 – Pelumba dari Sepanyol, Luis Miguel muncul juara dalam Perlumbaan 2 Kejuaraan TVS Asia One Make sempena Pusingan 2 IDEMITSU FIM Asia Road Racing Championship 2025 di Litar Antarabangsa Sepang, selepas melakukan pintasan penuh gaya di selekoh terakhir.

Perlumbaan bermula dengan pelumba Jepun, Hiroki Ono mendahului saingan, diikuti rapat oleh wakil tuan rumah, Md Ramdan Rosli yang turut memberi tekanan hebat. Sementara itu, pelumba India, Sarthak Chavan kekal rapat di kedudukan keempat hanya 0.3 saat di belakang, manakala Luis Miguel yang ketinggalan sekitar 1 saat, perlahan-lahan merapatkan jurang untuk kembali mencabar tempat teratas.

Namun pada pusingan ketiga, perlumbaan dihentikan seketika apabila bendera merah dikibarkan susulan insiden kemalangan melibatkan Chiranth Vishwanath (India) dan Arsyad Rusydi (Singapura). Kedua-dua pelumba dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius. Perlumbaan kemudiannya disambung semula dengan baki empat pusingan.

Selepas permulaan semula, Ramdan memimpin perlumbaan, namun Hiroki kembali ke hadapan dengan satu gerakan pantas di Selekoh 1. Luis mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga sambil memerhati pertarungan sengit antara tiga pelumba teratas. Keempat-empat pelumba hadapan akhirnya berjaya mewujudkan jurang 5.6 saat daripada kumpulan kedua.

Ketika memasuki pusingan terakhir, aksi mendebarkan tercetus apabila Ramdan dan Hiroki bersaing sengit merebut kedudukan pendahulu. Namun, nasib tidak menyebelahi Hiroki apabila beliau tersasar keluar litar di selekoh terakhir. Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Luis yang melakukan pintasan sempurna untuk merampas kedudukan pendahulu sebelum menamatkan perlumbaan dengan masa 9’34.191s, hanya 0.049 saat di hadapan Ramdan yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa 9’34.240s. Sarthak Chavan melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan 9’34.402s.

“Ia perlumbaan yang hebat buat saya. Saya bermula dengan baik, dan pada pusingan ketiga saya hanya satu saat di belakang pendahulu. Di pusingan terakhir, saya berjaya merapatkan jurang dan mengambil kesempatan di selekoh terakhir untuk menewaskan Ramdan dan Hiroki. Kemenangan ini sangat bermakna,” ujar Luis selepas perlumbaan.

5 CATATAN TERPANTAS – PERLUMBAAN 2 (TVS Asia One Make Championship)

  1. Luis Miguel – Sepanyol (9’34.191s)
  2. Md Ramdan Rosli – Malaysia (9’34.240s)
  3. Sarthak Chavan – India (9’34.402s)
  4. Hiroki Ono – Jepun (9’35.090s)
  5. Hunter Corney – Australia (9’43.907s)

—CSN MEDIA—