You are currently viewing HUJAN BUKAN PENGHALANG KEJUARAAN

HUJAN BUKAN PENGHALANG KEJUARAAN

Berita oleh: Taufik Azri untuk CSN Media.

Pusingan kedua Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2025 di Litar Lumba Tangkak, Johor menyaksikan Kasma Daniel Kasmayudin dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA MAJU MOTOR mendominasi perlumbaan kategori CP150. Bermula dari petak utama selepas mencatat masa terpantas dalam sesi Super Pole, Kasma mengetuai perlumbaan sejak awal sambil diekori rapat oleh rakan sepasukannya, Nazirul Izzat dan pelumba CKJ RACING, Ahmad Afif Amran.

Ketika perlumbaan berlangsung dalam keadaan litar basah, insiden kejatuhan Nazirul di selekoh terakhir memberi peluang kepada Md Helmi Azman dari MAEZTRO SCK HONDA untuk merampas tempat ketiga. Kasma menamatkan perlumbaan dengan masa 11’11.389s, diikuti Afif di tempat kedua dan Helmi di tempat ketiga. Kasma meluahkan rasa syukur kerana akhirnya berjaya menang di laman sendiri hasil sokongan padu pasukan serta persiapan jentera yang mantap.

Aksi kemuncak berlaku di selekoh terakhir apabila Syamil berjaya memintas Izam secara dramatik dan menamatkan perlumbaan dengan masa 10’18.594s. Izam terpaksa berpuas hati di tempat kedua, manakala rakan sepasukannya, Emil Idzhar Ezuan, meraih tempat ketiga. Syamil mengakui visornya kabur sepanjang perlumbaan, namun berani mengambil risiko di saat akhir yang akhirnya membawa kemenangan.

Pusingan kedua Cub Prix 2025 di Litar Tangkak menyaksikan kemenangan dramatik Md Akif Abdullah dari ZYNERGYS HONDA KC RACING TEAM dalam kategori Wira KBS. Perlumbaan bermula dalam keadaan kering sebelum hujan lebat menambah cabaran. Farres Putra dari PETRONAS SPRINTA YAMAHA – 31 RACING, yang bermula dari petak ke-10, memberi saingan hebat kepada Akif dengan aksi saling memintas sepanjang perlumbaan.

Di pusingan terakhir, Akif berjaya memintas Farres dan mengekalkan kedudukan, manakala cubaan agresif Farres untuk merampas kembali tempat pertama berakhir dengan insiden terjatuh. Akif menamatkan perlumbaan dengan masa 9’50.464s, diikuti oleh Nuzzul Ady dan Md Al-Syafiq dari YAMAHA ESTREMO 27 RACING. Akif menyifatkan perlumbaan itu sebagai mencabar dan tidak menjangka cabaran sengit daripada Farres, namun strategi jimat tayar dan sabar membuahkan hasil.

—CSN MEDIA—