You are currently viewing Selangor kekal ke ASIA

Selangor kekal ke ASIA

  • Post author:
  • Post category:Football

Kedudukan Selangor FC untuk merangkul gelaran naib juara Liga Super 2024/25 sudah terjamin sekali gus melayakkan mereka beraksi di pentas Asia musim depan. Pencabar terdekat Sabah FC tidak lagi mampu untuk mengejar Selangor FC yg berkelebihan 10 mata dengan hanya 3 baki perlawanan yang tinggal. Kemenangan besar Selangor FC mengesahkan status itu selepas menewaskan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 7-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu.

Faisal Halim kembali menemui sentuhan jaringan selepas hampir setahun bergelut dengan kecergasan dan prestasi selepas insiden simbahan asid yang hampir memusnahkan kariernya itu. Bukan sahaja jaringan, malah pemain itu turut mencatatkan jaringan gol hatrik pertamanya musim ini. Kebangkitan luar biasa pemain itu nyata suatu yang membanggakan dan harus diberi pujian.

Selangor FC yang tampil selaku pasukan pelawat di MBPJ mendahului tiga gol di babak pertama menerusi sentuhan Faisal di minit ke-13 selepas bijak membaca hantaran Kapten pasukan Safwan Baharudin. Quentin Cheng menambah keceriaan penyokong Selangor menerusi gol cantik tujuh minit kemudian sebelum Faisal sekali lagi menambah jaringan gol untuk gol ketiga Selangor di minit akhir separuh masa yang pertama.

Pemain pertahanan Gergasi Merah, Harith Haiqal Adam Afkar memastikan Merah Kuning mendahului 5-0 menerusi gol pada minit ke-54 dan 56 diiikuti dengan Faisal yang melengkapkan hatriknya apabila mudah menyempurnakan hantaran pemain gantian, Mukhairi Ajmal pada minit ke-66.Seorang lagi pemain gantian, Aliff Izwan Yuslan memastikan kelebihan pasukan Lembah Klang itu makin selesa menerusi gol ketujuh pada minit ke-73 sekali gus menutup malam gemilang Selangor.

Selepas ini, Selangor akan menentang Kuching City FC pada 16 Mac manakala Kelantan DN pula bersiap sedia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 4 April.

Berita/Gambar Ortega CSN