Raja Lembah Klang kekal Merah Kuning
Perlawanan bola sepak antara Selangor FC dengan Kuala Lumpur City FC sememangnya menjadi antara aksi yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tanah air. Pertembungan yang dikenali sebagai Derbi Lembah Klang ini bukan sahaja melibatkan persaingan untuk mendapatkan tiga mata, malah turut membabitkan maruah dan keunggulan dua pasukan yang mempunyai sejarah tersendiri dalam arena bola sepak Malaysia. Dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 13 September 2026, Selangor FC sekali lagi membuktikan kehebatan mereka apabila menewaskan KL City FC dengan keputusan 3-0.

Sejak wisel permulaan dibunyikan, Selangor FC tampil lebih yakin dan menguasai sebahagian besar permainan. Anak buah Kim Pan Gon memperlihatkan corak permainan yang tersusun dengan melakukan serangan secara berterusan ke arah kubu pertahanan KL City. Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-25 apabila A. Selvan membuka tirai jaringan selepas memanfaatkan kekalutan yang berlaku di dalam kotak penalti KL City. Gol tersebut memberikan keyakinan kepada pemain Selangor untuk
terus menguasai perlawanan.

Memasuki babak kedua, Selangor FC tidak mengendurkan tekanan. Hanya enam minit selepas permainan bersambung, Chrigor Moraes berjaya menggandakan kelebihan pasukannya. Jaringan tersebut menjadikan Selangor semakin selesa dan pada masa yang sama memberikan tekanan kepada pemain KL City untuk mencari jalan merapatkan jurang. Namun begitu, pertahanan Selangor berjaya mengawal keadaan dengan baik dan tidak membenarkan lawan mencipta peluang yang benar-benar berbahaya.

Kecemerlangan Selangor diteruskan pada minit ke-73 apabila Eduardo Sosa menjaringkan gol ketiga hasil bantuan Moraes. Jaringan itu sekali gus mematikan peluang KL City
untuk melakukan kebangkitan. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan mengesahkan kemenangan bergaya Selangor FC dalam Derbi Lembah Klang.

Kemenangan tersebut turut mengukuhkan status Selangor FC sebagai “Raja Lembah Klang”. Selangor kini meneruskan dominasi mereka terhadap KL City apabila tidak tewas kepada pasukan tersebut dalam saingan Liga Super sejak Julai 2024. Dalam tiga pertemuan selepas kekalahan tersebut, Selangor mencatatkan dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Selain itu, kemenangan ini turut memberikan permulaan yang amat baik kepada Selangor FC dalam saingan Liga Super musim 2026/27. Selepas empat perlawanan, Selangor berjaya mencatatkan rekod sempurna dengan empat kemenangan dan mengumpul 12 mata. Kedudukan tersebut meletakkan mereka dalam kelompok teratas liga dan hanya dipisahkan tiga mata daripada pendahulu, Johor Darul Ta’zim.
Berita/Gambar : Ortega CSN