Penang FC Bangkit Tewaskan Melaka 2-1, Mara Ke Suku Akhir Piala FA
GEORGE TOWN, 9 September 2026 – Penang FC mencatat kebangkitan dramatik apabila menewaskan Melaka FC 2-1 dalam aksi timbal balik pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA 2026/2027 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, hari ini.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Kumbang mara ke peringkat suku akhir dengan kemenangan agregat 3-1, selepas turut menewaskan Melaka 1-0 dalam aksi pertama di Stadium Hang Jebat pada 2 September lalu.

Bagaimanapun, Penang FC terlebih dahulu berdepan detik cemas apabila Melaka FC membuka jaringan pada minit ke-35 menerusi penyerang import, Kpah Sherman.
Sherman melepaskan rembatan kaki kanan selepas menerima hantaran silang daripada Mohd Azwan Aripin untuk memberikan kelebihan kepada pasukan pelawat.
Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama, sekali gus menyamakan kedudukan agregat kepada 1-1.

Memasuki babak kedua, Penang meningkatkan tekanan bagi mencari gol penyamaan. Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-74 apabila kapten Stefano Brundo menyempurnakan sepakan percuma dari luar kotak penalti Melaka untuk menjadikan kedudukan 1-1

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, pemain gantian Penang FC, Enzo Celestine, muncul sebagai wira apabila meledak gol kemenangan pada lewat permainan.
Jaringan tersebut mencetuskan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah dan memastikan Penang FC menutup perlawanan dengan kemenangan 2-1.
Keputusan itu sekali gus mengesahkan kemaraan Penang FC ke suku akhir Piala FA dengan agregat 3-1.

Berita & Gambar : @anabihanphotalk