Selangor FC cemas sebelum menang
Kelana Jaya 6 Sept 2026
Selangor FC mengekalkan rekod tanpa kalah di dalam Liga Super apabila berjaya menundukkan Melaka United FC 3-2.
Segalanya nampak sempurna untuk Selangor FC di awal perlawanan apabila berjaya mendahului pada minit ke 11 melalui
ayam tambatan mereka Chrigor Moraes. Gol dihasilkan melalui satu sepakan sudut dan disudahkan dengan tandukan oleh Chrigor.

Selangor yang menguasai permainan terus mengasak ke kubu Melaka United FC sehingga di hujung babak pertama, kesilapan
penyerang Selangor Kay Tejan yang membuat sepakan akrobatik di dalam kotak penalti Melaka, terkena kepada muka pertahanan
yang memaksa pengadil perlawanan mengeluarkan kad merah kepada pemain itu.

Selangor yang memulakan babak kedua dengan 10 pemain, berjaya menambah gol kedua pada minit ke-51 sekali lagi melalui Chrigor untuk meletakkan Selangor mendahului 2-0. Tersentak dengan gol tersebut, Melaka United seperti mendapat tonik semangat apabila Syahir Rashid berjaya merapatkan jurang kedudukan menjadi 1-2 menerusi jaringan pada minit ke-59. Gol terhasil dari cubaan cantik dari luar kotak penalti yang sama sekali memerangkap penjaga gol Selangor Kalamullah Al-Hafiz. Selangor FC dilihat sedikit hilang fokus sehinggakan Do Dong-hyun berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-75 selepas kebangkitan bertenaga pasukan pelawat.

Selangor kembali menyusun rentak dan berjaya mendapat sepakan penalti apabila Chrigor dijatuhkan di dalam kotak penalti. Chrigor yang mengambil sepakan tersebut malangnya gagal menyempurnakan peluang apabila sepakannya tinggi mengenai palang. Jefferson Tabinas menjadi wira Gergasi Merah dengan jaringan kemenangan pada masa kecederaan minit ke-90+1.

Selangor FC bimbingan Kim Pan-gon mempamerkan aksi bertenaga di halaman sendiri. Walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada sebahagian perlawanan, mereka tetap berjuang habis-habisan. Gol lewat oleh Jefferson Tabinas memastikan tiga mata penuh untuk Selangor FC di Stadium MBPJ.

Berita/Gambar : Ortega CSN