Skip to main content

SELANGOR CURI TIGA MATA DI SSMZA

GONG BADAK – Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas 0-3 di tangan Selangor FC dalam saingan Liga Super 2026-2027 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.

Kemenangan selesa itu menyaksikan skuad Gergasi Merah bimbingan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, melonjak ke tangga kedua carta liga dengan mengumpul enam mata. Terengganu FC pula kekal di tangga ketujuh dengan tiga mata, sekali gus terlepas peluang merekodkan kemenangan kedua berturut-turut.

Babak Pertama Ketat, Tiada Gol Terhasil

Aksi separuh masa pertama menyaksikan saingan sengit daripada kedua-dua pasukan yang bertarung memburu kemenangan. Selangor dilihat lebih menguasai permainan menerusi jentera serangan yang ditunjangi Faisal Halim, Kay Sheku Tejan, dan Chrigor Moraes, manakala benteng TFC dikawal ketat oleh pertahanan kebangsaan, Ubaidullah Shamsul Fazili.

Tuan rumah yang dibimbing Nafuzi Zain turut melancarkan beberapa percubaan berbahaya menerusi gandingan Jordan Mintah, Gervane Kastaneer, Elvis Kamsoba, dan Victor Ruiz. Kastaneer dua kali menguji gawang Selangor pada minit ke-37 dan minit akhir babak pertama, namun ketangkasan penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel,meletakkan kedudukan kekal 0-0 sehingga rehat. Selangor juga hampir mendahului menerusi percubaan Chrigor Moraes yang sekadar singgah di palang gol.

Dominasi Babak Kedua & Kecederaan Sikh Izhan

Bermula babak kedua, TFC memasukkan pemain sayap Brazil, Mateus Gustavo (Mateusinho), untuk menambah sengat serangan. Kastaneer sekali lagi melepaskan rembatan deras pada minit ke-49, tetapi terus dinafikan Sikh Izhan.

Tatkala TFC bertali-arus mengasak, Selangor memecah kebuntuan pada minit ke-58 menerusi rembatan Kay Sheku Tejan. Ia merupakan gol pertama pemain import baru Selangor itu musim ini. Empat minit kemudian, Chrigor Moraes menggandakan kelebihan Selangor menerusi gol kedua pasukan, hasil dari umpanan pemain tengah Nooa Laine melalui serangan kilat setelah gerakan pemain Terengganu FC berjaya dipatahkan.

Perlawanan bagaimanapun terhenti beberapa minit berikutan insiden perlanggaran kepala antara Sikh Izhan dan Romel Morales. Penjaga gol Selangor itu terpaksa dikejarkan ke hospital dan tempatnya digantikan oleh Azim Al Amin Kamaruddin.

Pada masa tambahan babak kedua, Moraes meledak gol keduanya malam tadi untuk melengkapkan kemenangan 3-0 buat Selangor FC.

Berita – Ortega, Gambar – Saufee

    Comments are closed

    © 2024-2026 CSN Media. All rights reserved.