Tiada ehsan untuk KL City FC

KUALA LUMPUR — Kuching City FC mencatatkan kemenangan besar 6-0 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. Perlawanan ini menyaksikan situasi luar biasa apabila KL City terpaksa turun beraksi dalam keadaan amat tempang dengan hanya mendaftarkan 10 orang pemain sahaja dan seorang pemain di bangku simpanan. Hal ini berpunca daripada isu penolakan permohonan penangguhan perlawanan
serta masalah pendaftaran pemain susulan pendaftaran isu tunggakan bekas pemain.


Tewas kepada JDT di perlawanan pertama musim ini, Kuching City tidak melepaskan peluang emas ini untuk menguasai keseluruhan perlawanan sejak wisel permulaan. Gol awal pada minit ketiga oleh penyerang import Ajdin Mujagic menceritakan kesungguhan skuad dengan jolokan nama “The Cats” ini untuk memenangi perlawanan. Jerome Etame kemudian mengukuhkan kedudukan buat skuad The Cats apabila menanduk masuk bola hantaran lintang pemain pertahanan, James Okwuosa pada minit ke-25. Menuju penghujung separuh pertama, aksi bertambah menarik apabila perlawanan kembali seimbang selepas Okwuosa dilayangkan kad merah kerana mengasari S. Sharvin.

KL City memulakan babak kedua dengan permainan yang lebih terbuka, cuba memanfaatkan bilangan pemain yang kembali sama untuk kedua-dua pasukan. Malangnya strategi berkenaan membawa padah apabila Jerome Etame melengkapkan hatriknya dengan 2 gol pantas pada minit 48 dan 52. Ajdin Mujagic menambah derita KL City dengan gol peribadinya yang kedua pada minit ke 56 sebelum Jerome Etame sekali lagi cemerlang dengan gol keempat beliau di hujung perlawanan. Tamat perlawanan KL City 0-6 Kuching City.

Berita/Gambar – Ortega