KELANA JAYA: Selangor FC berjaya mendapat kemenangan sulung dalam kempen Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) musim ini selepas menundukkan
wakil Singapura, Tampines Rovers 4-2 pada aksi kedua Kumpulan A di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Kejayaan menundukkan pasukan dari Singapura ini, mendatangkan sedikit kelegaan terhadap kem Selangor FC selepas mereka tewas dua aksi
berturut-turut sebelum ini di pentas Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) dan Liga Super.
Dengan kemenangan ini, Selangor FC muncul pendahulu Kumpulan A dengan empat mata, terikat dengan BG Pathum United namun berkelebihan dari
segi perbezaan jaringan selepas BG Pathum United hanya seri 2-2 dengan pasukan setempat, Buriram United.
Selangor FC bermula perlahan pada awal permainan, dengan Tampines Rovers lebih banyak menguasai bola. Hasil dari serangan balas pantas
dilancarkan Selangor FC pada minit ke-17 percubaan jauh Faisal Halim terbias pertahanan Tampines Rovers sebelum melambung masuk
ke dalam gol untuk kedudukan 1-0.

Kesilapan Shuya Yamashita yang kehilangan bola apabila diasak Chrigor Moraes pada minit ke-29 mengundang padah selepas bola itu dirampas
Moraes sebelum melakukan hantaran kepada Zack Clough yang menyudahkannya untuk gol kedua Selangor FC.
Tampines Rovers berjaya mengurangkan defisit pada minit ke-40 menerusi sepakan penalti Koya Kazama selepas Richmond Ankrah dilihat membuat
kekasaran terhadap pemain itu dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

Selangor FC terus menjarakkan kedudukan selepas Clough yang meledak gol kedua menjadi perancang untuk gol ketiga apabila hantarannya
disambut Faisal yang meluru pantas menolak bola ke dalam gawang Tampines Rovers pada minit ke-51.

Tidak cukup dengan tiga gol, tuan rumah terus memastikan kunjungan Tampines Rovers bertambah perit dengan gol keempat, kali ini
menerusi Alvin Fortes yang menyudahkan hantaran Moraes tujuh minit berselang.

Tampines Rovers bagaimanapun enggan mengalah dan berjaya merapatkan kedudukan hasil jaringan Hide Higashikawa pada minit ke-65 namun
ia tidak cukup untuk menafikan kemenangan pertama Selangor FC di pentas ACC musim ini.

Selepas ini, Selangor FC akan berdepan Cebu di tempat lawan manakala Tampines Rovers akan melayan kunjungan BG Pathum United,
3 Disember ini.
