You are currently viewing “Ceb” Sertai SRG OG, Seru Pemain Berani Ambil Risiko

“Ceb” Sertai SRG OG, Seru Pemain Berani Ambil Risiko

Berita dan gambar oleh Taufik Azri untuk CSN Media.

Kuala Lumpur, 15 Jun 2025 – Acara istimewa “Meet Ceb” yang berlangsung selama dua hari dari 14 hingga 15 Jun 2025 di Asia School of Business telah membuka peluang emas kepada peminat e-sukan tempatan untuk bertemu secara langsung dengan ikon dunia Dota 2, Sébastien “Ceb” Debs. Dikenali ramai sebagai tonggak utama kejayaan pasukan Red Bull OG, Ceb kini memulakan langkah baharu apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Teknikal untuk organisasi Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) SRG OG, sebuah kerjasama strategik antara OG dan organisasi tempatan, Red Giants Esports. Program ini dianjurkan oleh Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor dan Asia School of Business.

Dalam sesi perkongsian penuh inspirasi, Ceb mengimbau perjalanan awalnya sebagai pemain profesional ketika industri e-sukan masih baru bertapak. “Dibayar walaupun hanya seratus dolar sebulan untuk bermain Dota pun dah rasa luar biasa,” katanya sambil tersenyum. “Kami bersyukur dengan apa sahaja yang kami dapat, tapi pada hakikatnya, keadaan pemain sepatutnya lebih terjamin.” Beliau berkongsi bahawa kekurangan sokongan pada waktu itu mendorong mereka untuk mengambil nasib sendiri dan membina sistem yang lebih menyokong untuk generasi akan datang.

Ceb turut menekankan nilai keberanian dan kepercayaan dalam dunia kompetitif. “Untuk menang, seseorang perlu bersedia untuk kalah,” jelasnya. Menurutnya, mengambil risiko adalah sebahagian daripada proses kejayaan. “Kalau tak ambil risiko, memang kita tak akan gagal… tapi kita juga tak akan berjaya.” Beliau percaya bahawa organisasi harus menyediakan persekitaran yang selamat dan menyokong, agar para pemain berani mencuba, berani gagal, dan akhirnya mampu mencapai kejayaan sebenar.

Berkongsi tentang kepimpinan dan budaya kerja dalam pasukannya, Ceb berkata: “Jurulatih kami sentiasa berusaha untuk memahami kami sebagai individu dan pasukan.” Beliau menegaskan bahawa seorang jurulatih yang baik bukan hanya menunjukkan kebolehan, tetapi hadir untuk membantu. “Saya belajar untuk memerhati dahulu, memahami cabaran mereka, dan apabila saya lihat sesuatu yang saya boleh bantu, barulah saya kongsi pengalaman.” Beliau kini mengaplikasikan pendekatan ini dalam peranan barunya bersama SRG OG.

Walaupun bukan pakar dalam permainan MLBB, Ceb percaya pengalamannya masih relevan. “Saya tidak boleh bantu dari segi permainan MLBB, mereka jauh lebih hebat daripada saya dalam hal itu. Tapi itu bukan keperluan mereka pun,” ujarnya. Fokusnya kini lebih kepada membimbing dari segi struktur pasukan, dinamik kerja, kekuatan mental, serta pendekatan taktikal dan psikologi – elemen yang sering kali menjadi pembeza antara pasukan biasa dan pasukan juara.

Acara “Meet Ceb” bukan sekadar sesi interaksi bersama legenda, tetapi merupakan satu inisiatif yang memperkukuh jalinan antara komuniti e-sukan tempatan dan pentas global. Ia membuktikan komitmen berterusan Selangor Youth Community dan para rakan strategik untuk membangunkan ekosistem e-sukan Malaysia yang bukan sahaja kompetitif, tetapi juga profesional, lestari dan berpaksikan nilai kemanusiaan.

—CSN MEDIA—