You are currently viewing SEJARAH PERTAMA BUAT MALAYSIA

SEJARAH PERTAMA BUAT MALAYSIA

Gambar dari artikel FIM World Supercross Championship oleh FIM WSX.

Berita oleh Taufik Azri untuk CSN Media.

Kuala Lumpur Tuan Rumah Pembuka Tirai Kejuaraan Dunia FIM Supercross 2025

KUALA LUMPUR, 6 JUN 2025 – Malaysia bakal mencipta sejarah sebagai tuan rumah bagi perlumbaan pembukaan Kejuaraan Dunia FIM Supercross 2025 yang akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 18 Oktober ini. Ini merupakan kali pertama perlumbaan berprestij ini dianjurkan di negara ini dan juga satu-satunya pusingan yang akan diadakan di benua Asia musim ini.

Penganjuran perlumbaan ini adalah sebahagian daripada lima pusingan global yang akan menjelajah lima benua, dengan lokasi seterusnya termasuk Buenos Aires (Argentina), Vancouver (Kanada), Gold Coast (Australia), dan penutup musim di Cape Town (Afrika Selatan) pada 13 Disember. Empat daripada lima bandar ini, termasuk Kuala Lumpur, akan menjadi tuan rumah buat pertama kali dalam sejarah kejohanan.

Ketua Pegawai Eksekutif Data Sukan Sdn Bhd, Shamil Yusof, menyifatkan kehadiran perlumbaan ini ke Malaysia sebagai satu langkah besar dalam meningkatkan profil negara di arena sukan antarabangsa. Beliau turut menyatakan bahawa ia sejajar dengan usaha kerajaan untuk menarik penganjuran acara global yang mampan dan mampu memberi impak positif terhadap ekonomi pelancongan negara. Tambah menarik, perlumbaan ini akan berlangsung hanya seminggu sebelum Grand Prix Motosikal Malaysia 2025, menjadikan Oktober sebagai bulan yang penting bagi peminat sukan permotoran tempatan dan serantau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif World Supercross, Tom Burwell menyatakan bahawa kalendar 2025 merupakan titik perubahan bagi sukan tersebut dengan penyertaan lokasi baharu di Asia, Amerika Selatan dan Afrika. Ini jelas menunjukkan visi untuk menjadikan Supercross sebagai acara global sejati yang mampu menarik minat penonton dari seluruh dunia. Antonio Alia Portela dari FIM turut menzahirkan keterujaannya untuk menyaksikan pelumba terbaik dunia kembali berentap merebut gelaran juara dunia musim ini.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket awal, peminat boleh melayari laman rasmi kejohanan di https://wsxchampionship.com.

—CSN MEDIA—